Syed Redza begitu tenang memandu.
Dia mengikut segala arahan Zureen.
Memandu dengan kelajuan hanya 60 km/j.
Walaupun terasa rimas memandu seperlahan itu, tetapi demi sebuah
kebenaran untuk memandu lagi, dia akur sahaja.
Kadang-kadang dia rasa kereta lembu pun lebih laju dari keretanya bila
memandu dengan kelajuan sebegitu.
Zureen di sebelah pula berasa senang hati apabila Syed Redza patuh
pada arahannya walaupun jauh di sudut hati dia tetap merasa bimbang kerana
ingkar pada arahan Dr. Rashdan.
“Saya dah ikut arahan Zureen memandu 60 km/j saja….tapi kenapa muka
tu muram aje. Ada apa-apa lagi ke yang
saya kena buat?”, Syed Redza memecah kesunyian setelah sekian lama mereka
menyepi. Hanya lagu dari radio yang
berkumandang.
“Encik Redza…terus terang saya katakan, sebenarnya saya ni risau
sangat. Saya takut Dr. Rashdan dan datin
dapat tahu Encik Redza memandu….”, Zureen berterus terang akan punca kenapa dia
kelihatan resah.
“Come on Zureen…..saya dah cukup dewasa. Saya bukan budak-budak lagi. Kalau awak dimarah mama dan Dr. Rashdan, saya
bersedia untuk cover awak…dahlah jangan risau tak tentu fasal….Insyallah
tak ada apa-apa…”, Syed Redza cuba menenangkan Zureen yang terus menerus
keresahan.
Zureen tersenyum sedikit.
Walaupun masih diselubungi perasaan takut tapi sekurang-kurangnya dia
sedikit lega dengan kata-kata Syed Redza.
Perjalanan yang sepatutnya tidak sampai sepuluh minit, menjadi
hampir dua puluh minit akibat memandu perlahan.
Sesampainya di kawasan Puteri Harbour, Syed Redza terus memakirkan keretanya
bersama deretan kereta-kereta lain.
Ramai juga orang yang datang ke situ.
Kebanyakan daripada mereka mempunyai tujuan yang sama dengannya iaitu
untuk beriadah sambil mengambil angin petang.
Syed Redza dan Zureen berjalan beriringan menuju ke kawasan yang
menempatkan kapal-kapal persendirian berlabuh.
Mereka berjalan perlahan sambil Syed Redza membuat stretching. Zureen juga membuat perkara yang sama. Selepas membuat sedikit regangan, mereka mula
berjoging perlahan di sekitar kawasan itu.
Sesekali Zureen berhenti berlari dengan nafas termengah-mengah. Berbeza dengan Syed Redza, lelaki itu
kelihatan steady sahaja berlari anak.
Mungkin sudah biasa melakukan senaman berjalan laju di atas threadmill,
menyebabkan dia kelihatan bersahaja. Staminanya
cukup kuat.
“Hai, takkanlah dah penat kot?
Lari tak berapa meter pun dah mengah?
Macam mana nak sentiasa fit, baru berlari sikit dah
termengah-mengah? Maknanya lepas ni,
Zureen kena berjoging sama-sama dengan saya setiap petang…..”, sindir Syed
Redza apabila melihat Zureen yang sudah merah mukanya akibat kepenatan.
“Saya dah tak larat. Kalau
Encik Redza nak lari lagi, silakan….tapi jangan jauh-jauh sangat….saya dah surrender….”,
jawab Zureen dengan nafas temengah-mengah.
Syed Redza hanya ketawa memerhatikan keadaan Zureen.
“Oklah….kita berhenti.
Kasihan pulak saya tengok Zureen.
Jom kita duduk kat tembok batu tu….ambil angin…”, cadang Syed Redza
sambil tangannya menunjukkan tempat yang dimaksudkan.
Zureen akur. Sememangnya dia
sudah kehabisan tenaga. Memang sudah
lama benar dia tidak berjoging. Kali
terakhir dia berjoging ialah di sekitar banglo dahulu. Peristiwa di mana Syed Redza telah melihatnya
berenang tanpa tudung. Mengingatkan
peristiwa itu menyebabkan dirinya serta merta malu. Cepat-cepat ditepisnya ingatan itu.
Mereka duduk di atas tembok batu yang dibina di sepanjang pelabuhan
itu. Ramai juga orang yang duduk berehat
di kawasan itu. Ada yang berjoging
seperti dia dan Syed Redza lakukan dan tak kurang juga yang datang sekadar
melayan kerenah anak-anak bersiar-siar di kawasan itu.
Zureen leka memerhatikan seorang kanak-kanak perempuan yang berusia
lingkungan dua tahun yang berlari terkedek-kedek mengejar seekor kucing yang
entah dari mana datangnya. Ibunya hanya
mengawasi di belakangnya. Rambutnya yang
keriting bergulung-gulung turut terbuai-buai apabila dia berlari. Pipinya yang tembam turut bergegar apabila
dia berlari laju. Comel sungguh! Rasa hendak dicubit saja pipi yang comel
itu. Serta merta dia teringatkan anak-anak
buahnya yang sudah lama benar tidak ditemui.
Rindu pula rasanya.
“Comel kan?”, tiba-tiba Syed Redza bersuara menyebabkan Zureen
tersentak.
“Hmmm….”, jawab Zureen pendek sambil matanya masih tidak lepas
memandang kanak-kanak comel itu.
“Zureen sukakan budak-budak?”, soal Syed Redza lagi yang turut sama
memandang keletah kanak-kanak perempuan itu.
“Suka…”
“Zureen suka budak perempuan atau lelaki?”
“Dua-dua suka….sebab biasanya budak-budak kalau sebaya dengan budak
perempuan tu mesti comel tak kiralah lelaki atau perempuan….”
“Zureen ada anak buah kan?”
“Ada….empat orang semuanya….dua lelaki dua perempuan….tapi saya dah
lama tak jumpa mereka…”
“Kenapa? Mereka tinggal kat
mana?”
“Abang saya yang sulung tinggal di Sarawak. Kakak saya pulak ikut suaminya buat PhD di
UK…memang dah lama saya tak jumpa mereka.
Kali terakhir masa hari raya tahun lepas. Mesti mereka dah besar sekarang….”, cerita
Zureen sayu.
Syed Redza yang menyedari nada sayu pada suara Zureen, segera cuba
menceriakan suasana. Dia tidak mahu
gadis kesayangannya bersedih lagi.
Semenjak peristiwa malam itu, dia sudah berjanji kepada dirinya untuk
menggembirakan Zureen semampu mungkin.
“Zureen nak berapa orang anak bila kita kahwin nanti?”, soal Syed
Redza selamba dalam usahanya untuk menghilangkan kesedihan Zureen.
Tepat tindakan Syed Redza.
Zureen benar-benar terkejut mendengar soalan yang tidak dijangkanya
itu. Serta merta wajahnya bertukar merah
akibat menahan malu.
“Hishh!! Apa Encik Redza
mengarut ni?”
“Eh, apa pulak mengarutnya? Sememangnya
itulah impian setiap orang yang berkahwin….”
“Memanglah….itu orang yang dah nak kahwin….tapi bukan kita…”
“Insyallah….kita pun coming soon….”
“Encik Redza ni kalau bercakap macam ye ye oo aje….”
“I’m serious ok….memang itulah impian dan harapan saya. Siang malam saya berdoa semoga hasrat hati
saya kali ini tidak akan dikecewakan lagi….”
Zureen memandang sekilas ke wajah Syed Redza yang sedang
memandangnya setelah mendengar nada serius dari lelaki itu.
“Zureen….once I said I love you, I really meant it. Saya bukannya jenis lelaki yang mudah untuk
melafazkan kata-kata cinta sebab harga cinta saya sangat mahal….hanya gadis
yang betul-betul layak saja berpeluang mendapat cinta saya…..”
Zureen hanya diam mendengar kata-kata Syed Redza.
“Zureen….setakat ni saya belum dengar dari mulut Zureen sendiri
tentang perasaan Zureen pada saya.
Selama ni hanya saya yang beranggapan Zureen pun mempunyai perasaan yang
sama seperti perasaan saya pada Zureen.
Hari ni, kalau boleh saya nak dengar sendiri suara hati Zureen….boleh?”,
soal Syed Redza lembut sambil terus memandang Zureen.
Kenapa pulak mamat ni tiba-tiba nak cakap soal perasaan? Tak sesuai langsung!
“Encik Redza….perlu ke nak cakap semua tu? Sebab pada saya perasaan tu boleh dirasai
tanpa perlu mengatakannya. Apa yang
Encik Redza rasa selama ni masih tak cukup ke?”, balas Zureen yang cuba
mengelak.
“Ada masa kita perlu meluahkan perasaan itu dengan kata-kata. Seboleh-bolehnya saya tak mahu hanya saya
yang merasakan perasaan cinta itu sedangkan perasaan Zureen, saya sendiri pun
tak tahu….”, Syed Redza tetap mengharapkan Zureen menyatakan perasaannya. Sesuatu yang amat susah untuk dilakukan oleh
gadis itu.
“Encik Redza tak haus ke?
Kalau haus biar saya belikan air mineral..”, balas Zureen tiba-tiba. Dia belum bersedia untuk melakukan semua itu.
“Zureen….kenapa setiap kali saya ajukan persoalan ini, mesti Zureen
cuba mengelak?”, soal Syed Redza tidak puas hati.
“Macam mana saya nak luahkan kalau tekak dahaga sangat….bukan saya
cuba nak mengelak, tapi kata orang kalau kita nak luahan hati kita benar-benar
ikhlas dan berjiwa, biarlah dalam keadaan yang selesa….masalahnya sekarang ni
saya tak selesa.”
“Saya harap ini bukan satu helah Zureen….”, balas Syed Redza yang
agak kecewa dengan tindakan Zureen sambil bangun dan berjalan meninggalkan
Zureen.
Zureen panik melihat tindakan Syed Redza meninggalkannya.
“Encik Redza….tunggu! Encik
Redza nak ke mana tu?”, soal Zureen cemas.
Tiba-tiba sahaja dia merasa menyesal di atas kata-katanya yang
seolah-olah mempermain-mainkan perasaan Syed Redza.
“Kata haus sangat tadi? Saya
nak belikan Zureen air….lepas minum nanti dah tak ada alasan nak mengelak
lagi….”, jawabnya selamba sambil terus berjalan meninggalkan Zureen yang
terpinga-pinga tetapi akhirnya menarik nafas lega setelah mendengar jawapan
Syed Redza.
Zureen hanya duduk di tembok batu sementara menunggu Syed Redza
membeli air mineral. Dia memerhatikan
semula kanak-kanak perempuan yang mengejar kucing tadi. Kelihatan dia menangis apabila kucing yang
dikejarnya sudah jauh lari meninggalkannya.
Ibunya yang mengawasi dari belakang sedari tadi cuba memujuknya.
Sedang Zureen leka memerhati telatah kanak-kanak perempuan dan
ibunya itu, tiba-tiba dia disapa dari belakang.
“Hai, sorang aje?”, sapa seorang lelaki yang langsung tidak
dikenali Zureen.
Zureen memandang sekilas lelaki itu. Soalan lelaki itu tidak dijawab sebaliknya
dia memandang semula telatah kanak-kanak perempuan tadi.
“Cik adik….janganlah sombong sangat…”, lelaki itu masih mencuba.
“Maaf….saya tak kenal awak…”, jawapan selamat diberikan Zureen
kerana dia tidak mahu dianggap sombong oleh lelaki itu. Bimbang jika dia menunjukkan sikap sombong,
lelaki itu akan berasa sakit hati dan bertindak yang bukan-bukan kepadanya.
“Sebab tak kenallah, saya nak berkenalan dengan cik adik
ni…”,kata-kata miang kedengaran dari mulut lelaki yang entah dari mana
munculnya itu.
Zureen mula rimas. Rasa
ingin saja bangun meninggalkan lelaki miang itu tetapi bimbang pula jika Syed
Redza akan mencarinya nanti. Telefon
bimbitnya yang telah dipulangkan kembali oleh Syed Redza selepas peristiwa
malam itu, ditinggalkan di biliknya.
“Maaflah saudara…..sebab saya sedang menunggu
suami saya beli air untuk saya…”,tiba-tiba jawapan selamat itu yang terlintas
di kepalanya.
Riak wajah lelaki itu agak berubah sebaik sahaja Zureen menyebut
suami. Zureen terpaksa menyebut suami
kerana padanya gelaran itu lebih selamat berbanding tunang. Bimbang jika skrip lama yang biasa disebut
lelaki yang degil hendakkan hak orang akan disebut oleh lelaki itu, sedangkan
kahwin boleh bercerai inikan pula baru bertunang. Jadi, bila dia menyebut suami, nampaknya
tiada kata-kata yang mampu terucap lagi dari mulut lelaki miang itu.
Zureen yang keresahan menarik nafas lega sebaik sahaja dia
ternampak kelibat Syed Redza yang sedang berjalan menjinjing plastik yang
berisi dua botol air mineral. Syed Redza
dilihatnya merenung tajam ke arahnya dan juga lelaki miang yang masih belum
beredar dari tempatnya itu.
Sebaik sahaja Zureen nampak Syed Redza sedang berjalan ke arahnya,
dia terus sahaja menerpa ke arah lelaki itu dan memaut lengannya. Syed Redza yang agak tersentak dengan dengan
tindakan Zureen memandangnya pelik.
Namun, dibiarkan sahaja Zureen memaut lengannya sambil berjalan ke arah
lelaki yang masih berdiri melihatnya.
Mungkin ingin memastikan kebenaran kata-kata Zureen, bahawa lelaki yang
sedang dipaut tangannya itu memang benar suaminya.
“Kenalkan…inilah suami saya…”, Zureen memperkenalkan Syed Redza
kepada lelaki yang sudah berubah air mukanya itu. Tangannya masih memaut lengan Syed Redza.
Syed Redza juga memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan
lakonan Zureen itu. Dia menghulurkan
tangan untuk bersalam namun disambut agak lambat oleh lelaki itu.
“Hai….saya Syed Redza dan ini isteri saya. Saya dengar tadi saudara nak berkenalan dengan
isteri saya….betul ke?”, soal Syed Redza agak sinis sambil merenung tepat ke
arah lelaki itu.
“Ma…maafkan sa..saya…saya tak tahu gadis cantik ni isteri
encik. Saya tengok dia duduk
sorang-sorang…..sa..saya pergi dulu…”, jawab lelaki itu tergagap-gagap dan
terus berjalan terkocoh-kocoh meninggalkan mereka.
Zureen terus sahaja menarik tangannya dari lengan Syed Redza
setelah kelibat lelaki itu tidak kelihatan lagi. Dia kembali duduk di atas tembok batu semula. Syed Redza pula masih berdiri merenungnya
dengan pandangan yang tajam. Memang
sudah lama dia tidak dihadiahkan renungan tajam seperti itu semenjak peristiwa
malam itu. Zureen seperti dapat menghidu
api kemarahan Syed Redza tetapi cuba dikawal lelaki itu. Mungkin kerana janjinya tidak akan berkasar
dan menyakiti hati Zureen lagi menyebabkannya terpaksa menelan kemarahan
itu. Namun, ia masih boleh dilihat
dengan jelas dari raut wajah Syed Redza.
“Siapa tu? Baru beberapa
minit saya pergi, dah jadi macam ni….”, suara Syed Redza agak mendatar tetapi
nada kemarahannya masih boleh didengari Zureen.
“Saya tak kenal pun siapa lelaki tu….alih-alih saja dia muncul
entah dari mana dan cakap nak berkenalan dengan saya. Takkan itu pun Encik Redza nak marahkan saya. Dia tiba-tiba datang sendiri dan bukan saya
yang memanggilnya datang…..”, terang Zureen dengan harapan Syed Redza tidak
akan salah sangka kepadanya.
Jika diingatkan semula peristiwa malam itu, tiba-tiba Zureen jadi
takut semula apabila melihat wajah Syed Redza yang serius itu. Seboleh-bolehnya, dia memang tidak mahu
membuat Syed Redza marah kepadanya tetapi hal seperti tadi adalah di luar
kawalannya.
“Yang awak pergi layan dia tu kenapa? Cakaplah terus-terang aje…”, Syed Redza masih
bernada marah.
“Saya tak layan pun….saya cuma jawab baik-baik soalan dia sebab
saya tak mahu dia ingat saya ni seorang yang sombong. Encik Redza tahu kan sekarang ni, macam-macam
hal berlaku. Kalau saya yang keseorangan
tadi berlagak sombong dengan dia….dan buatnya dia mengapa-apakan saya sebab
sakit hati atas kesombongan saya, lagilah huru-hara jadinya…saya terpaksa
menipu dia tadi cakap yang Encik Redza ni suami saya….lepas tu barulah dia dah
tak ganggu saya lagi…..”, jawab Zureen cuba berterus-terang keadaan sebenar.
Zureen menyambung lagi.
“Encik Redza….sebab tu saya tak nak pergi jauh-jauh macam ni….saya
takut perkara macam ni terjadi….”, Zureen cuba menenangkan suasana yang mula
dirasakan tegang setegang wajah Syed Redza.
Syed Redza duduk di sebelah Zureen dengan wajah yang masih
serius. Dia memang tidak dapat menahan
kemarahan jika melibatkan Zureen dengan lelaki lain. Dia tahu Zureen tidak bersalah, tetapi
nampaknya dia perlu bersaing dengan ramai lelaki yang cuba untuk mendekati
Zureen. Sesuatu yang amat ditakuti dan
tidak boleh diterimanya. Beberapa kali
dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan untuk menenangkan hatinya sendiri.
“Maafkan saya Zureen….saya memang tak boleh kawal perasaan jika
hal-hal begini berlaku di depan mata saya….saya cuba untuk melawan perasaan
saya tu, tapi nampaknya perasaan cemburu dan amarah lebih menguasai diri
saya….”,luah Syed Redza yang kelihatan risau wajahnya.
Dia mengeluarkan sebotol air mineral dari plastik yang dijinjingnya
tadi dan menyerahkan kepada Zureen.
“Minumlah….kata haus tadi….”
Zureen mencapai botol air mineral, membuka penutupnya dan terus
menyedut minuman menggunakan penyedut minuman dengan agak laju. Memang dia sedang kehausan. Syed Redza turut menyedut minumannya.
“Dah hilang haus?”, soal Syed Redza setelah melihat Zureen berhenti
menyedut air yang hanya tinggal sedikit.
Zureen hanya mengangguk.
“So….dah rasa tenangkan?
Dah bolehlah cerita pada saya tentang perasaan Zureen pada saya…”
Erkk? Alamak! Ingatkan dia dah lupa. Aduh!
Macam mana ni? Kali ni aku dah
tak boleh mengelak lagi. Bisik Zureen
dalam hati.
“Zureen….saya tunggu ni…”
Zureen menarik nafas panjang.
Entah kenapa terlalu sukar untuknya meluahkan perasaannya terhadap Syed
Redza. Sesuatu yang tidak pernah
dilakukannya sebelum ini. Dia memang
belum pernah bercinta dan sebab itu dirasakan tugas meluahkan perasaan adalah
terlalu sukar baginya.
“Encik Redza….saya memang tak pandai nak meluahkan perasaan macam
Encik Redza….sebabnya, sama ada Encik Redza nak percaya atau tidak
terpulanglah…saya memang belum pernah bercinta secara serius….kalau ada pun
sebelum ini ia lebih bersifat suka-suka….senang cerita macam cinta monyetlah….hanya
meminati tapi tak pernah meluahkan….so, saya memang tak pandai meluahkan
perasaan sebab pada saya luahan tu tak penting….yang penting saya boleh merasai
perasaan kasih sayang dan cinta dari Encik Redza kepada saya….dan terus terang
saya nyatakan, saya senang dengan perasaan itu.
Kalau saya tak suka pada Encik Redza, saya rasa saya dah lama tinggalkan
kerja saya ni….hanya itu yang mampu saya luahkan dan saya harap Encik Redza
faham akan maksud kata-kata saya…..”, luah Zureen dengan perasaan malu.
Syed Redza tersenyum puas memandang Zureen. Walaupun apa yang diharapkan dari mulut
Zureen masih tidak didengarinya, tapi itu sudah memadai baginya kerana dia tahu
bagaimana sikap Zureen apabila melibatkan soal hati dan perasaan.
“Hmmm….saya teringin sangat nak dengar Zureen kata….Encik Redza
saya sukakan awak….atau I love you…..”, Syed Redza cuba mengusik Zureen
kerana dia pasti Zureen tidak akan mengatakannya.
Zureen hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Nampaknya lelaki itu tetap mengharapkan
kata-kata seperti itu darinya.
“Apa guna cakap benda tu semua kalau hati tak ikhlas….saya nak
Encik Redza merasainya melalui perbuatan saya dan bukannya dari kata-kata
saya….”, Zureen masih tetap dengan pendiriannya.
“Oklah….as you wish dear….but for me I really…really love
you…..”, Syed Redza sempat meluahkan rasa hatinya.
“Jangan terlalu mudah mengungkapkannya….sebabnya dia akan jadi
murah dan kelihatan murah….saya nak rasa cinta saya ni terlalu payah untuk
ditemui di mana-mana…sebabnya dia hanyalah eksklusif dari saya. Lagipun, kata orang kalau mudah sangat
melafazkan, maknanya dia juga akan mudah melupakan……”, ucap Zureen dengan wajah
selamba.
“Mungkin itu orang lain…..tapi bukan Syed Redza….”,pendek sahaja
jawapan dari Syed Redza tetapi penuh bermakna.
Kedua-dua insan itu saling berpandangan dan berbalas
senyuman….senyuman yang penuh dengan kebahagiaan.
Best3.....nak lg3......cepatla dia org ni kawin,x sabar ni....good job n mabrok;-)
ReplyDeletehailah en redza... kuat btl cemburu... gerun ngn org cm nie.. mudah slh sgka
ReplyDeletebest2
ReplyDeletebest2,,
ReplyDeletenak hbs kat blog atau dibukukan? tak sabar nak tau endingnya... :)
ReplyDeleteTerima kasih semua....
ReplyDeleteInsyallah, sudah tentu saya nak ianya dibukukan....oleh kerana itu saya trpaksa hadkan dr uploadkan trlalu byk bab....
best...suka novel nie....xsabar nx bca bab seterusnyerrr..
ReplyDeletebile buku nak keluar!!??? xsabar ni!!!!
ReplyDeleteThanks Suhara.....sabar ye...
ReplyDeleteThanks maizaki.....insyallah....harap sabar...
mana next episode...
ReplyDelete