BAB 30



BAB 30
Lebih kurang jam lima petang, mereka bertolak pulang ke Johor Bahru.  Sunyi sepi mengiringi perjalanan pulang mereka.  Mungkin akibat keletihan.  Jika mengikut perancangan awal, Datin Raja Fatimah merancang untuk bermalam semalam lagi dan hanya akan pulang hari esok, tetapi memandangan Syed Redza yang semakin tidak selesa kerana tidak dapat berehat dengan sempurna, wanita itu membatalkan rancangannya di saat-saat akhir.
Hajah Ramlah sibuk juga memujuk Syed Redza untuk bermalam semalam lagi tetapi alasan yang sama diberikan oleh Syed Redza.  Neneknya yang amat faham keadaan dirinya yang belum pulih sepenuhnya, akhirnya terpaksa mengalah.  Tetapi…yang terlebih sedih apabila Datin Raja Fatimah terpaksa pulang awal ialah Raja Zahidin.  Betapa terdesaknya lelaki itu sehinggakan tanpa segan silu merayu kepada mak ngahnya, Datin Raja Fatimah supaya Zureen ditinggalkan semalam lagi di rumah neneknya dan berjanji sanggup menghantar sendiri Zureen pulang ke Johor Bahru.
Zureen yang tidak menyangka hingga begitu sekali tindakan terdesak Raja Zahidin tidak mampu berkata apa-apa.  Mujurlah Datin Raja Fatimah pandai memberi alasan.  Respon Syed Redza?  Semakin kuat dia mendesak ibunya untuk segera pulang.  Rasa marah yang meluap-luap dengan cadangan bodoh dan melampau dari sepupunya, membuatkan marahnya pada Zureen juga semakin tidak dapat ditahan lagi.  Apatah lagi melihatkan reaksi Zureen yang hanya membisu apabila ditanya neneknya.  Seolah-olah gadis itu turut bersetuju dengan cadangan sepupunya itu.
“Macam mana Zureen?  Seronok balik kampung auntie?”, soal Datin Raja Fatimah memecah kesunyian.
Zureen yang baru sahaja hendak melelapkan matanya, agak tersentak apabila soalan tersebut diajukan.
“Mestilah seronok ma…..macam-macam ada kat kampung tu.  Boleh cuci mata….”,Syed Redza dengan selamba menjawab sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Serentak dengan itu, kedua-dua, Datin Raja Fatimah menoleh ke arah Syed Redza dan Dato’ Syed Munawar juga memandang melalui cermin pandang belakang.  Dari cara Syed Redza bercakap, seperti ada sesuatu yang dia tidak puas hati terhadap Zureen.
“Redza….kenapa cakap macam tu?  Tak baik….penat Zureen ikut kita balik kampung sampai tak jumpa umi dan baba dia…..”, balas Datin Raja Fatimah kurang senang dengan keceluparan anak bujangnya itu.
“Tak apa auntie……Zureen seronok sangat dapat ikut balik kampung auntie….dapat pulak berkenalan ramai saudara mara auntie.  Baru Zureen tahu, rupa-rupanya keluarga autie ni cukup besar….”, jawab Zureen jujur tanpa mempedulikan sindiran Syed Redza.
Kedengaran Syed Redza merengus.  Dari rengusan Syed Redza, Zureen sudah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sesampainya di banglo nanti.  Zureen betul-betul lemas dengan sikap dan layanan Syed Redza kepadanya. 
Jika difikir-fikirkan semula, Zureen sendiri tidak tahu apa status dirinya disisi Syed Redza.  Walaupun, Syed Redza sudah beberapa kali meluahkan isi hatinya kepada Zureen, tetapi entah kenapa Zureen tidak pernah merasakan mereka pasangan yang bercinta.  Hendak kata bercinta, tetapi Zureen langsung tidak pernah dibuai perasaan cinta kerana setiap hari pertengkaran dan perbalahan pasti berlaku ditambah pula dengan cara layanan Syed Redza kepadanya.  Hendak kata tidak bercinta, tetapi Syed Redza sudah beberapa kali menyatakan rasa cintanya walaupun Zureen sendiri tidak pernah sekali pun membuka mulut menyatakan sama ada dia juga sukakan Syed Redza atau pun tidak.  Betul-betul memeningkan.
Apa yang pasti, Syed Redza tidak pernah bertanya akan perasaan Zureen terhadapnya.  Dia seolah-olah tidak kisah dan peduli tentang itu semua.  Dia menganggap Zureen sebagai hak miliknya hanya berdasarkan perasaannya seorang sahaja.
Jika ditanya apakah perasaannya terhadap Syed Redza, dia sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang tepat.  Bohong jika dia tidak tertarik dengan rupa paras Syed Redza kerana sebagai manusia biasa, dia juga pasti tertarik terhadap sesuatu yang indah dan sedap dipandang mata tetapi itu tidak bererti hati turut suka dengan apa yang dipandangnya, walaupun biasa disebut dari mata turun ke hati.  Masalahnya, apa yang sedap dipandang dengan matanya, tetapi perasaan itu tak turun-turun ke hatinya.
Suasana kembali sepi.  Datin Raja Fatimah tidak berhasrat untuk bertanya kepada Zureen lagi kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada anak bujangnya.  Sebelum suasana yang tenang itu bertukar tegang, lebih baik dia turut mendiamkan diri.  Sesekali dia berbual dengan suaminya untuk mengelakkan suaminya yang memandu dari mengantuk.
Ketika mereka sampai, azan maghrib baru sahaja berkumandang.  Zureen terus sahaja menuju ke biliknya memandangkan Syed Redza sudah mampu berjalan sendiri biarpun agak perlahan.  Pembantu-pembantu rumah yang memang sudah sedia menanti, memunggah semua beg pakaian dan bekalan yang dibawa dari kampung.
Zureen terus sahaja merebahkan dirinya di atas katil sebaik sahaja dia masuk ke dalam biliknya.  Bila dapat berbaring begitu, barulah terasa letihnya.  Terasa sakit-sakit semua badannya terutama di bahagian kaki.  Mungkin akibat terlalu banyak berjalan turun naik tangga mengangkat dulang hidangan.
Bestnya kalau dapat urut.  Kalau umi ada, mesti dia boleh tolong urutkan kaki yang lenguh sangat ni…”, bisik Zureen sendirian sambil mengurut perlahan kakinya.
“Aduhai….rindunya kat umi dan baba.  Nak telefon tak boleh pulak.  Bilalah mamat tu nak pulang telefon aku ni?”. Zureen mengeluh.  Terasa separuh dari hidupnya hilang apabila telefon bimbitnya dirampas Syed Redza.
Malas untuk mengusutkan fikirannya, Zureen terus melangkah ke bilik air untuk mandi dan mengerjakan solat maghrib.  Selesai solat, dia kembali berbaring di atas katilnya.  Dia terus berfikir bagaimana caranya untuk memujuk Syed Redza agar memulangkan telefon bimbitnya.  Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia mengetuk pintu bilik lelaki itu dan meminta terus telefonnya, tetapi dia tidak berani kerana dia tahu, Syed Redza memang sedang marahkannya.
Walaubagaimanapun, Zureen sedar, dia memang tidak dapat mengelak dari bertemu dengan lelaki itu kerana sebentar lagi dia harus memeriksa keadaan kesihatan lelaki itu.  Walaupun tahu pasti akan berlaku pertengkaran, tetapi dia tiada pilihan.  Mahu tidak mahu, suka atau pun tidak, dia terpaksa juga berhadapan dengan lelaki itu.  Zureen sudah bersedia.  Apa pun Syed Redza akan lakukan kepadanya, selagi tindakannya tidak melampaui batas, dia akan cuba bertahan dan bersabar.
Selepas makan malam, Zureen mengangkat hidangan untuk Syed Redza.  Lelaki itu tidak turun makan bersama seperti kebiasaannya. Tidak tahu apakah dia memang benar-benar letih seperti yang diberitahu Datin Raja Fatimah kepadanya, atau disebabkan rasa marahnya pada Zureen.
Dengan lafaz bismillah, Zureen mengetuk pintu.  Setelah beberapa kali mengetuk, Zureen terus sahaja memberanikan diri melangkah masuk ke bilik Syed Redza.  Zureen agak terkejut sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik lelaki itu kerana biliknya gelap gelita hingga Zureen terpaksa meraba-raba mencari suis lampu. 
Sebaik sahaja suis lampu dipetik, kelihatan Syed Redza terbaring di atas katilnya.  Nampaknya dia belum mandi lagi kerana masih memakai baju dan seluar yang sama seperti siang tadi.  Zureen memberanikan diri menghampiri Syed Redza yang kelihatan seperti sedang tidur.
Apahal mamat ni tak mandi-mandi lagi?  Penat sangat ke sampai tertidur?
“Encik Redza…..Encik Redza…bangun.  Dah sampai masa makan malam.  Encik Redza kena makan ubat dulu sebelum tidur…”, Zureen cuba mengejut Syed Redza yang kelihatan nyenyak tidurnya.
Lelaki itu langsung tidak bergerak.  Betul-betul tidur mati!
Zureen tidak berputus asa, dia mencuba sekali lagi.
“Encik Redza…bangunlah.  Tak elok tidur dengan baju tak berganti macam ni.  Tak bagus untuk kesihatan.  Encik Redza baru je nak pulih….”, kejut Zureen lagi.
Masih kaku.  Tiada reaksi langsung.  Zureen semakin buntu, mati akal.  Tidak tahu apa yang harus dilakukan.  Tiba-tiba sahaja Zureen mendapat idea.
“Encik Redza….saya tahu Encik Redza marahkan saya.  Saya minta maaf banyak-banyak kalau perbuatan saya yang tidak disengajakan tu telah menyakitkan hati Encik Redza.  Itu bukan salah saya….”, Zureen cuba mengumpan Syed Redza bangun dengan membangkitkan perkara yang telah menyebabkan lelaki itu marah kepadanya.  Satu perbuatan yang berani!
Sama juga seperti tadi.  Langsung tiada respon.  Zureen sudah give up.  Nampaknya lelaki itu memang tidak mahu menemuinya.  Zureen tidak fikir Syed Redza sedang tidur kerana biasanya, lelaki itu pasti akan terjaga apabila dikejut, walau senyenyak mana pun tidurnya.
“Oklah….saya keluar dulu.  Kalau Encik Redza lapar, saya ada letakkan makanan di atas meja tu.  Encik Redza makanlah sebelum tidur.  Ubat pun saya letakkan sekali di situ.  Encik Redza jangan lupa makan ubat ye…..”, ujar Zureen lembut sebelum meninggalkan Syed Redza.
Zureen mula melangkah keluar tetapi tiba-tiba tangannya telah disentap Syed Redza dari belakang hingga menyebabkan Zureen terduduk di atas katil bersebelahan Syed Redza.  Tindakan Syed Redza itu benar-benar mengejutkan Zureen. 
Syed Redza bingkas bangun dan menekan Zureen yang sudah terbaring di atas katil.  Direnungnya gadis itu dengan perasaan yang bercampur baur.  Rasa marah, rasa sayang, rasa benci dan pelbagai lagi perasaan datang silih berganti.
Zureen sudah menggigil ketakutan.  Perlakuan Syed Redza benar-benar menakutkan dirinya.  Lelaki itu dilihatnya seperti sudah hilang pertimbangan.  Bukan lagi Syed Redza yang biasa dilihatnya.  Mukanya merah padam menahan marah.  Zureen mula ingin menjerit meminta tolong apabila melihat kelakuannya Syed Redza yang sudah bertukar ganas, namun serta merta tangan Syed Redza menekup mulut Zureen untuk menghalang gadis itu dari menjerit.
Zureen sudah hampir sesak nafas akibat ditekup mulutnya.  Dia sudah tidak bermaya.  Jika tadi dia cuba melawan dengan agresif, tetapi kini dia sudah tidak bermaya akibat kehilangan banyak tenaga.  Dia hanya mampu menangis.  Badannya terasa lemah longlai.
Syed Redza menarik tangannya dari mulut Zureen apabila dilihatnya gadis itu sudah tidak melawan lagi.  Air mata semakin lebat membasahi pipi Zureen.  Syed Redza terus merenung Zureen dengan badannya yang masih menindih Zureen.
“Encik Redza….kenapa buat saya macam ni?  Apa salah saya?”, Zureen merintih sedih.
“Aku dah banyak kali ingatkan kau.  Jangan buat sesuatu yang boleh naikkan darah aku.  Kau dah cukup banyak menguji kesabaran aku….”, suara Syed Redza bergetar.
“Apa yang dah saya buat sampai Encik Redza sanggup memperlakukan saya macam ni?”, soal Zureen lagi dengan esak tangis masih kedengaran.
“Aku dah cakap, jangan berhubung lagi dengan abang angkat kau tu, tapi kau degil.  Kau tetap berhubung dengan dia kat depan mata aku lagi.  Itu depan mata aku, kat belakang aku tak tahu entah apa yang kau buat.  Kat kampung aku, kau boleh main mata dengan jantan keparat tu.  Lepas tu siap berbual mesra lagi.  Semua tu kau buat depan mata aku.  Kalau depan mata aku, kau berani buat macam tu, aku tak tahulah apa yang kau buat di belakang aku…..”, luah Syed Redza dengan marah.  Kedua-dua tangannya terus menekan kuat kedua-dua tangan Zureen.
“Encik Redza tak adil terus menghukum saya tanpa usul periksa….saya cuma magsa keadaan….tolong Encik Redza lepaskan saya….sakit!  Macam ni ke Encik Redza melayan orang yang Encik Redza katakan suka?”, dalam keadaan genting, Zureen masih sempat memikirkan pendekatan psikologi untuk memujuk Syed Redza.
Tindakan Zureen tepat.  Syed Redza terus sahaja melepaskan tangan Zureen dan berganjak bangun berdiri menghadap Zureen yang terbaring di atas katil.  Zureen segera bangun.  Mengengsot perlahan menjauhi Syed Redza.  Duduk memeluk lutut.  Tudungnya sudah tercampak ke mana dia pun tak tahu.
Syed Redza duduk tertunduk di atas katil membelakangkan Zureen.  Kedua-dua tangannya beberapa kali meraup rambut dan mukanya seolah-olah kesal dengan tindakannya terhadap Zureen.
Suasana sepi seketika.  Hanya kedengaran esak tangis Zureen.  Hancur luluh hati Zureen diperlakukan begitu.  Belum pernah lagi mana-mana lelaki memperlakukannya begitu.  Ingatannya tiba-tiba melayang teringatkan abang angkatnya, Haziq.  Sesungguhnya lelaki itu amat menghormatinya sebagai seorang wanita.  Dia langsung tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hatinya apatah lagi berkasar kepadanya seperti yang dilakukan oleh Syed Redza walaupun cintanya ditolak.  Zureen tetap dilayan dengan lembut walaupun hatinya telah terluka.  Air mata semakin lebat membasahi pipinya apabila teringatkan apa yang telah dilakukan kepada abang angkatnya itu.  Mungkin ini balasan Allah di atas dosanya kepada lelaki itu.
Syed Redza bangun mencapai tudung yang sudah tercampak ke tepi katil tadi dan menghulurkan kepada Zureen.  Zureen segera merampasnya dari tangan Syed Redza dan terus sahaja menyarungkan ke kepala.  Rasa benci dan marah terhadap Syed Redza begitu meluap-luap sekali.
Syed Redza duduk melutut di hadapan Zureen.  Rasa sakit akibat melutut langsung tidak dirasainya.  Apa yang terfikir di fikirannya ketika itu hanyalah permohonan maaf.  Dalam samar lampu bilik, Syed Redza kelihatan seperti diselubungi kekesalan.  Zureen memalingkan wajahnya dari pandangan Syed Redza.  Memang dia terlalu benci dengan lelaki di hadapannya ketika itu.
“Aku minta maaf…..”, Syed Redza bersuara setelah sekian lama menyepi.
Zureen hanya membisu.  Tiada hati langung untuk menjawab kata-kata lelaki selfish itu.  Apatah lagi untuk memaafkannya.  Apa yang terdetik di fikirannya ketika itu adalah untuk meletakkan racun di dalam makanan lelaki dan biar dia mampus terus!  Biar lelaki itu terus lenyap dari pandangan mata dan hidupnya.  Rasa marah dan benci yang begitu menggunung menyebabkan fikiran Zureen tidak rasional lagi.
“Zureen….aku betul-betul minta maaf….aku tak ada niat langsung nak berkasar dengan kau….”, ulang syed Redza lagi setelah melihat Zureen hanya menyepikan diri.
Zureen membisu lagi.  Dia masih duduk memeluk lutut.  Wajahnya hanya ditundukkan.  Tidak mampu rasanya untuk menatap wajah lelaki yang sangat dibencinya ketika itu.
“Zureen….please say something….i’m really…really…sorry..”, Syed Redza terus merayu.  Rasa bersalahnya terhadap gadis itu semakin menggunung apabila Zureen langsung tidak bersuara.
Terus sepi….
“Zureen….aku sanggup buat apa saja untuk kau kalau kau maafkan aku..”,Syed Redza tidak berputus asa.
Zureen mengangkat wajahnya sebaik mendengar kata-kata Syed Redza.
“Betul? Kau sanggup buat apa saja?”, soal Zureen yang sudah mula beraku engkau menunjukkan betapa marahnya dia terhadap apa yang dilakukan Syed Redza.
Syed Redza tersentak.  Terkejut dengan cara Zureen bercakap dengannya kerana selama ini gadis itu sangat hormat kepadanya.  Tetapi, dia tidak menyalahkan Zureen kerana pasti gadis itu terlalu marah padanya ketika itu sehingga menyebabkan sikap Zureen bertukar kasar.
Syed Redza tiada pilihan.  Dia hanya mengangguk.
“Aku tak nak tengok muka kau lagi!  Go to hell and…..i quit!  Lelaki macam kau yang tak tahu nak hormat perempuan ni memang tak layak untuk mendapat cinta aku atau mana-mana perempuan pun.  Memang patut pun Lisa buat kau macam tu!”, balas Zureen dengan suaranya yang keras.  Dia terus sahaja bangun dan berlari keluar meninggalkan Syed Redza yang terpempan dengan kata-kata Zureen yang tajam menikam.

13 comments:

  1. Salam, nampaknya Redza kena rendahkan ego, Zureen dah berkecil hati dan nak berhenti kerja. Orang sakit memang ego tinggikan. Nampak gayanya emak Redza yang mungkin mampu pujuk si Zureen ni.

    ReplyDelete
  2. Thanks to Nawa & Seri Ayu...
    Kita tengoklah apa jadi pada Zureen & Syed Redza lepas ni ye.....

    ReplyDelete
  3. sis..cpt lah smbung. xsbar nk tau apa jd. heeeee ;)

    ReplyDelete
  4. Good job shila..penulisan yang makin kemas compare dgn begitu takdirnya..mungkin boleh selitkan lebih banyak info ilmiah..semoga pembaca novel shila turut mendapat kebaikan dan manfaat dari novel ni..

    ReplyDelete
  5. Thanks Miss Emey....
    Sabar ye dik.....biarlah suspen sikit....hehe...

    ReplyDelete
  6. Thanks zo di atas komen anda yg sgt brguna utk saya....
    Begitu Takdirnya adalah karya prtama saya...ketika menulis, saya belum ada pengalaman menulis, tapi lps baca byk novel & prhatikn cara penulisannya, saya cuba perbaiki dlm MSA.....thanks again 4 your support....selepas selesai manuskrip MSA, saya akan kembali utk siapkn manuskrip begitu takdirnya pula & mgkn trpaksa ubah tajuk utk menarik prhatian pmbaca2....harap teruskn menyokong saya ye....tq

    ReplyDelete
  7. Eh, tentulah nak maizaki....sape yg x nk....insyallah sbb pihak karya seni ada brtanyakan full manuskrip MSA.....sbb tu saya sdg all out menyiapkannya....tq

    ReplyDelete
  8. Thanks fazrynfaizal......
    Harap bersabar sbb saya mmg x boleh uploadkan trlalu byk spt yg dinasihatkan oleh pihak penerbit.....kena ikut masanya....sabar ye....anywat tq sbb sudi membaca....

    ReplyDelete
  9. best...bila nak kuar novel?tak sabar nak tahu cite seterusnya

    ReplyDelete
  10. Insyallah....sabar ye...kalau brjaya diterbitkan, pasti saya akan war-warkan...tq Harum Chempaka...

    ReplyDelete